Asal-usul Afrika Br'er_Rabbit

Cerita Br'er munfkin disusur kembali kepada watak-watak licik di Afrika, khususnya arnab yang begitu penting dalam tradisi penceritaan Afrika Barat, Tengah dan Selatan. Cerita-cerita ini masih sebati dengan budaya rakyat tradisional di seluruh rantau-rantau tersebut. Dalam tradisi Akan di Afrika Barat, watak licik biasanya berbentuk labah-labah (lihat Anansi), namun kisah labah-labah ini seringkali seiras plotnya dengan kisah arnab.[1]

Ramai yang berpendapat bahawa Br'er Rabbit sebagai watak Amerika, melambangkan hamba abdi Afrika yang menggunakan kecerdikannya untuk mengatasi segala kesusahan serta membalas dendam terhadap musuhnya yang mewakili tuan hamba berkulit putih. Walaupun tidak semestinya berjaya, namun arnab ini dijulang sebagai wira atas jasanya. Apapun, watak licik ini seorang yang berbilang matranya. Sungguhpun menjadi wira, sifatnya yang amoral serta tiadanya perasaan yang terkawal secara positif turut menjadikannya sebagai penjahat.

Bagi golongan Afrika dan Amerika Afrika, haiwan licik ini melambangkan perilaku melampau yang boleh dicontohi oleh sesiapa secara terpaksa dalam keadaan mendesak semata-mata demi kemandirian. Watak licik ini tidak wajar disanjungi dalam setiap situasi begitu sahaja; ia merupakan contoh teladan yang baik dan juga buruk. Perilaku si licik ini boleh dirumuskan dalam peribahasa Afrika: "Monyet mengunyah lada pedas kerana kesusahan." Dalam erti kata lain, adakalanya kita terpaksa mengambil langkah keterlaluan dalam keadaan yang amat mendesak.[2]

Versi Amerika cerita ini dikatakan berpunca dari kalangan kaum hamba Afrika. Kisah-kisah Br'er Rabbit ini dituliskan oleh Robert Roosevelt, bapa saudara kepada Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt. Theodore Roosevelt pernah menulis dalam autobiografinya tentang ibu saudara dari negeri Georgia, bahawa "Dia mengenali semua kisah 'Br'er Rabbit', dan saya pernah dibesarkan dengan cerita-cerita itu. Salah seorang bapa saudara saya, Robert Roosevelt, terpegun dengan cerita itu, lalu menuliskannya mengikut perencanaanya, lalu menerbitkannya dalam majalah Harper's, tetapi tidak disambut baik. Bertahun-tahun kemudian, barulah bangkitnya seorang genius bergelar 'Uncle Remus' yang mengabadikan cerita-cerita ini."

Cerita-cerita ini dipopularkan untuk tatapan arus perdana pada akhir abad ke-19 oleh Joel Chandler Harris, yang menuliskan dan menerbitkan sebilangan besar cerita-cerita yang diturunkan secara lisan. Harris mendengari cerita-cerita ini di negeri Georgia juga. Di Louisiana selatan, cerita-cerita yang sama sekali dirakamkan secara berasingan oleh pakar budaya rakyat, Alcée Fortier, yang mana watak Br'er Rabbit dipanggil Compair Lapin dalam Bahasa Perancis Kriol. Kisah-kisah ini diceritakan semula untuk kanak-kanak oleh sasterawan kanak-kanak terkenal dari England, Enid Blyton.